Kerjaya Seni Wan_Aishah_binti_Wan_Ariffin

Permulaan

Pada 1983, Aishah memenangi satu pertandingan talentime di Kuala Lumpur. Nasibnya begitu baik kerana terus ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman Life Records dan muncul dengan dua lagu bersama Malek Ridzuan dalam album Jilid 5 kepunyaan Malek. Lagu yang popular ialah "Mawar Putih Mawar Merah". Walau bagaimanapun, Aishah ketika ini menggunakan nama Natasha Aminah kerana takut dimarahi ayahnya kerana menyanyi. Ayahnya seorang yang sangat mementingkan pendidikan anak mereka. Walau bagaimanapun, apabila rahsia itu terbongkar, nama Aminah terus lenyap dalam senarai penyanyi tanah air. Peminat langsung tidak mempedulikan 'kehilangannya'. Natasha tidak sempat merakamkan album solo kerana tidak lama selepas itu, dia terbang ke New Zealand untuk menyambung pengajian dalam jurusan Sains Politik di Universiti Auckland. Bagaimanapun atas beberapa faktor, dia hanya lulus dalam bidang Pendidikan Kanak-Kanak. Pun begitu, pada tahun 1996 beliau akhirnya berjaya mendapatkan ijazah sarjana dalam Sains Politik yang kemudian menjadi antara titik tolak penglibatannya dalam dunia politik Malaysia.

Di New Zealand, Aishah terus mencari peluang menyanyi. Pada 1986, dia memberanikan diri memasuki satu lagi talentime, "Telequest" dan mendapat tempat ketiga. Walaupun tidak menjadi johan, dia tetap terharu kerana Aishah satu-satunya peserta Melayu ketika itu. Selepas pertandingan itu, Aishah membuat pita demo sendiri dan di bawa ke sana ke mari untuk mencuba nasibnya. Kebetulan ketika itu, sebuah band, Soul On Ice, sedang mencari vokalis pengganti. Mereka berjaya mengesan bakat Aishah lalu mempelawanya menyertai band itu. Bagi Aishah, peluang menyertai Soul On Ice sesuatu yang menarik walaupun dia juga ditawarkan memasuki sebuah lagi kumpulan yang cukup popular ketika di negara itu iaitu Peking Man. Walau bagaimanapun, beliau menolak tawaran Peking Man kerana bekas vokalisnya, Margaret Urlich mempunyai imej yang hebat dan beliau enggan dibayangi populariti Margaret kerana beliau mahu membina identiti sendiri.

Selain Aishah, Soul On Ice juga dianggotai Paul Moss (gitar), Malcolm Smith (keyboard), Dave Larsen (dram) dan Glenn Peters (bass). Apabila menyertai CBS New Zealand, Soul On Ice akhirnya menukarkan namanya menjadi The Fan Club. Bersama kumpulan itu, Aishah sempat merakamkan dua album - Sensation (1988) dan Respect The Beat (1989). Maka, pada tahun 1988, tiba-tiba industri hiburan sejagat digegarkan dengan kejayaan anak Malaysia - Aishah - bersama kumpulannya dari New Zealand, The Fan Club. Aishah and Fan Club bukan saja popular di New Zealand, Australia dan Malaysia, malah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Menerusi dua buah album bersama The Fan Club, Aishah dikenali seluruh dunia sebagai penyanyi antarabangsa. Lagu-lagu pop dance seperti "Sensation", "Call Me", "Never Give Up On You", "Paradise" menduduki banyak carta muzik dunia dan single "Dont Let Me Fall Alone" pernah menduduki carta Billboard Hot 100 sekaligus menjadikan satu-satunya artis Malaysia yang berjaya mendaki carta Billboard di Amerika Syarikat. Namun setelah empat tahun bersama The Fan Club, kumpulan tersebut mengambil keputusan untuk berehat dan membawa haluan masing-masing buat sementara. Aishah yang ketika itu di kemuncak kerjaya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada tahun 1990. Salah seorang ahli kumpulannya Paul Moss juga mengambil keputusan untuk berhijrah ke Malaysia dan menjadi penerbit dan penggubah lagu.

Kemuncak Solo

Kemunculan album solo studio pertamanya Aishah adalah pada tahun 1990 iaitu berjudul "Aishah" terbitan Adnan Abu Hassan memuatkan 10 lagu termasuk satu instrumental Camar Yang Pulang. Malah, untuk membuktikan kehebatannya mendendangkan lagu Melayu, Aishah menampilkan dua lagu berirama Melayu asli - "Bahtera Merdeka" dan "Syurga Di Telapak Kaki Ibu" - dalam album itu. Hasilnya didapati memang luar biasa hingga mendapat tempat di pasaran muzik berbahsa Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Album ini turut mengangkat nama dan muzik yang dibawa Adnan Abu Hassan dalam arus industri muzik tempatan pada masa itu. Semua sembilan lagu dalam akbum itu hebat, namun "Janji Manismu", ciptaan Adam Ahmad dan lirik oleh Aishah paling mendapat tempat di hati pendengar. Lagu itu dinobatkan Anugerah Juara Lagu ke-5 anjuran TV3 dengan mengalahkan "Suci Dalam Debu", Iklim dan "Sejati", Awie. Aishah cukup diingati di pentas AJL kerana aksi campak beg berjenama Louis Vuitton atas pentas yang ketika masih baharu dikenal di Malaysia [3]. Fenomena Aishah berterusan apabila meraih kejayaan sebagai Artis Paling Popular dan Artis Wanita Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular anjuran Salem, Berita Harian dan RTM. Aishah turut memenangi anugerah Penghibur TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa anjuran RTM.

Mengikuti kejayaan itu, muncul pula keduanya, "Aishah II" juga terbitan Adnan Abu Hassan pada 1991 yang meletup dengan lagu "Kemaafan Dendam Yang Terindah" dan "Fatwa Pujangga". Tahun yang sama, Aishah muncul dalam filem Shakila bersama Rahim Maarof dan Kuza. Walaupun berbakat sebagai pelakon, itulah sahaja satu-satunya lakonan Aishah dalam filem. Seterusnya Aishah tampil pula dengan album "Aishah III - Asia Sedunia" (1992). Lagu yang popular masa ni "Selanjur Bercinta". Tahun itu juga Aishah dan anggota The Fan Club mengumumkan pembubaran mereka kerana masalah dalaman.

Langit tidak selalu cerah, pada tahun 1993 Aishah diboikot wartawan Malaysia gara-gara merahsiakan perkahwinan pertamanya yang juga warga New Zealand. Aishah juga menyambut kelahiran anak sulungnya Armand Azhari tanpa publisiti media pada penghujung 1993. Peristiwa diboikot wartawan hiburan menyebabkan karier Aishah menyepi seketika. Aishah mengambil keputusan untuk melengahkan sedikit pelancaran album keempatnya setelah situasi reda. Album keempat beliau berjudul "Klasik" diluncurkan pada tahun 1994 dan berkonsepkan irama tradisional sepenuhnya. Ia membariskan lagu-lagu pop etnik seperti "Doa", "Ubekkan Denai", "Tari Silat Melayu" dan beberapa lagi nyanyian nafas baharu untuk lagu-lagu klasik Melayu Nusantara. Album ini begitu mendapat perhatian pendengar serantau hingga berjaya meletakkan Aishah sebagai penyanyi pop yang begitu unggul membawakan lagu-lagu tradisional. Pada tahun itu juga , Aishah menerima pengiktirafan Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Album di acara Anugerah Industri Muzik ke-2 sekaligus menjadi penyanyi pertama memenangi anugerah tersebut menerusi album tradisional.

Album "Wajah" diterbitkan pada tahun 1995 kembali membuktikan Aishah masih hebat apabila lagu "Cinta Beralih Arah" (ciptaan Jari Idris dan lirik Habsah Hassan) menjadi Anugerah Juara Lagu ke-10. Lagu itu turut memenangi kategori Balada. Aishah pula menerima anugerah Persembahan Terbaik melalui lagu itu. Lagu "Wajah" dan "Panggilan Rindu" petikan album itu juga begitu popular pada tahun tersebut. Album itu juga diiktiraf sebagai Album Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik di acara Anugerah Industri Muzik ke-3.

Pada tahun 1996 Aishah mengambil keputusan untuk memperlahankan karier nyanyian buat sementara waktu kerana hal peribadi (diyakini kerana kes perceraian dengan suami pertamanya) dan juga ingin menyudahkan pengajiannya di New Zealand. Pada tahun itu Aishah muncul album kompilasi "Merenung Bulan" dengan single "Merenung Bulan" yang begitu hits dan kemudian disusuli dengan sekuel album tradisionalnya berjudul "Memori Klasik" yang mempopularkan kembali lagu dangdut "Kau Pergi Tanpa Pesan" dan lagu asal Ahmad Jais berjudul "Harapan Kecewa".

Pada tahun 1997 Aishah meninggalkan syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia dan menyertai syarikat rakaman EMI. Aishah yang masih berulang alik dari New Zealand ketika itu bereksperimentasi dengan bunyian etnik dan pop secara fusion untuk album "Tiada Duka Untuk Apa" yang mempopularkan lagu seperti "Tiada Duka" dan "Antara Cinta dan Kasih" pada tahun 1997. Pun begitu kebangkitan penyanyi-penyanyi baharu seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Nora Ariffin ketika itu sedikit sebanyak menambahkan persaingan buat Aishah.

Aishah menikahi seorang lelaki warga New Zealand bernama Muhammad Abdullah pada 1 September 1997 dan menyepi seketika dari publisiti apabila melahirkan anak kedua , Ahzad Ahlami Muhammad[4]. Pada penghujung tahun 1998 beliau muncul dengan album solo ketujuh berjudul "Tiada Akhirnya" yang mengandungi sebuah lagu gubahan semula "Tangisan Semalam"; sebuah lagu melankolik yang dipopularkan oleh Uji Rashid. Aishah ternyata berjaya memberi nafas baru kepada lagu tersebut tanpa dibayangi aura penyanyi asalnya. Kemudian disusuli dengan album khas untuk musim perayaan Aidilfitri iaitu "Pulanglah Perantau" pada tahun 2000. Kedua-dua album ini kurang dipromosikan dan ditambah pula dengan krisis antara Aishah dan syarikat rakamannya, EMI.

Rujukan

WikiPedia: Wan_Aishah_binti_Wan_Ariffin http://www.sabahdaily.com/2012/07/aisyah-saya-pili... http://www.theedgemalaysia.com/in-the-financial-da... http://www.youtube.com/watch?v=Pu-IUEmM3bs&feature... http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=10... http://www.sinarharian.com.my/politik/peminat-horm... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt...